17 - Ultimate Warrior… Yg Hebat! Yg Cacat!
Monday, September 18th, 2006Artikel ini telah diterbitkan di Utusan Malaysia pada 18 Sept 2006 tapi dah diedit…
Sungguh
tercabar rasanya bila mendengar cabaran dari Ruzaidi Abd Rahman di kaca
televisyen mengajak penonton khasnya ahli seni beladiri agar tampil menonjolkan
bakat dalam aliran masing-masing dalam pertandingan Ultimate Warrior yang
diadakan di tengah-tengah kegemilangan Dataran Merdeka pada 15-17 September
2006. Nyata sekali inilah kali pertama dalam pengetahuan saya promosi dalam
bidang seni beladiri dilakukan secara besar-besaran dari kaca televisyen hingga
ke ruang-ruang surat khabar.
Peserta-peserta
dari seluruh negara penuh dengan semangat berkobar-kobar ingin turut serta
bersama dalam perlawanan yang entah bila akan diulang kembali. Bukan setiap hari
kita dapat melihat beladiri dari silat, kungfu, karate, silambam, taekwondo dan
lain-lain lagi beradu tenaga, skil dan nasib bagi menentukan siapa yang terbaik.
Pujian harus diberikan kepada Kementerian Belia dan Sukan yang menjadi
penganjur acara ini.
Sayang seribu
kali sayang, bagaikan ada tangan lain yang mencacatkan acara yang sepatutnya
menjadi kebanggaan kita rakyat Malaysia. Dalam kita berjuang agar Malaysia
menjadi pusat beladiri dunia dan dengan adanya pertandingan sebegini yang
meletakkan negara kita di mata warga beladiri antarabangsa terdapat
insiden-insiden yang tidak sepatutnya berlaku dalam pertandingan ini. Masa
pendaftaran yang telah diwar-warkan di dada-dada akhbar untuk dimulakan pada jam
7 malam sehingga jam 9 malam telah dilangsungkan lebih awal pada jam 5 petang
dan ditutup pada jam 7 malam. Di ketika itu ada calon peserta yang hadir pada
jam 7 malam untuk mendaftarkan diri seawal mungkin sebenarnya telah tertipu
apabila pendaftaran telah pun ditutup.
Pihak yang
bertugas memberikan alasan bahawa tidak logik pendaftaran dilakukan pada jam 7
malam sedangkan waktu adalah suntuk dan peserta adalah ramai. Yang menjadi
kemusykilan, mengapa pengumuman awal tidak dibuat menerusi radio, televisyen
atau internet? Kita sedang melalui satu zaman di mana teknologi untuk
mendapatkan maklumat adalah begitu mudah sekali. Salah satu dari penganjur acara
Ultimate Warrior ini adalah Digi sebuah syarikat telekomunikasi yang seharusnya
lebih arif dan tahu tentang penyebaran maklumat secara pantas dan efektif. Malah
sehingga hari perlawanan berlangsung, akhbar masih memaparkan bahawa waktu
pendaftaran dimulakan pada jam 7 hingga jam 9 malam. Apabila masalah ini
dianjurkan pada pihak yang bertugas alasannya cukup mudah; "Itu saya tak
tahu!".
Saya
percaya ada di kalangan yang hadir untuk menyertai pertandingan ini datang bukan
sahaja di sekitar Kuala Lumpur malah datangnya dari seluruh pelosok tanah air
yang ingin mencuba nasib. Ada antara mereka yang berlatih
bersungguh-sungguh agar dapat sama merasai gelanggang tersebut dan mencari
pengalaman beradu tenaga dengan peserta dari beladiri yang lain. Dengan
berlakunya tragedi seperti ini nyata meruntuhkan semangat mereka yang ingin
turut sama menyertai malah sanggup berhujan pada malam tersebut dengan harapan
dapat turut bertanding.
Pihak
Kementerian Belia dan Sukan khasnya Dato’ Azalina Dato’
Othman Said harus melakukan soal selidik jika terdapat pihak yang menyalahgunakan kuasa
demi kepentingan mereka sendiri. Kita tidak boleh menolak kemungkinan bahawa
terdapat kejadian pilih bulu agar cuma segelintir pihak dari golongan yang
terpilih sahaja yang dapat menyertai pertandingan yang terbuka ini. Faktor
aliran maklumat yang tidak tepat kepada media juga perlu dikenal
pasti.
Besar harapan
peminat seni beladiri tanah air malah mungkin antarabangsa agar
pertandingan-pertandingan seperti Ultimate Warrior ini dapat dilakukan lagi di
masa-masa hadapan dan sebarang kesilapan masa kini dijadikan pengajaran di masa
hadapan.
